PROLOG
Dia menapak masuk ke dalam rumah. Kaki dihala
ke balkoni. Dari situ, dia melihat hampir keseluruhan kota London. London
street yang sibuk itu entah bila akan sunyi dengan pengunjung. Dia memeluk
tubuh.
Sudah hampir tiga bulan dia menyambung
pelajarannya di London. Ya! Rasa kecewa dan dikhianatilah yang telah mengheret
langkahnya ke kota asing ini. Tuhan....kalaulah dia diberi pilihan...dia tidak
mahu mengenali wanita itu.Wanita yang telah menghancurkan sekeping hatinya yang
tulus.
Seketika pula, dirasakan kelopak matanya
basah. Selama ini, kesedihan yang bertandang hanya disimpan di dalam hati tapi
hari ini dia tewas lagi. Dibiarkan air hangat itu menitis.Tidak diseka mahupun
dikesat. Dalam hati dia berjanji hari inilah hari terakhir dia menangisi
kecurangan seorang wanita bernama isteri. Dia mahu mencapai kejayaan dalam
hidupnya dan seterusnya memberi kebahagiaan kepada kedua ibu bapanya yang
begitu terluka setelah mengetahui rahsianya. Benar, dia telah kalah sebagai
suami tapi belum tentu dia tewas sebagai ayah, anak dan hamba-Nya.
Arghhh... Hati lelaki itu menjerit
lantang. Berharap agar jeritan itu mampu menyegarkan jiwanya yang keluh-kesah. Yang
tidak bermaya selama beberapa bulan ini.
Dia memejamkan mata. Tanpa sedar, bayangan
wanita yang manis bertudung itu muncul dalam ingatannya. Serentak...air matanya
luruh lagi. Ah! Betapa cinta telah menjadikan seorang lelaki begitu lemah.
“Rul!”. Namanya diseru perlahan.
Yakin seruan itu datangnya dari
belakang, dia pantas berpaling.
Dan wanita yang memanggil tadi ternyata
kaget. Tergamam melihat air mata lelaki itu.