Ayah yang menghargai!

Monday 1 June 2020



Seorang ayah. Dari benihnya kita datang dengan izin Allah. Dengan tangan dan kasih sayangnya kita membesar. Kata orang, anak-anak lebih rapat dengan si ibu. Benarkah begitu? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Lantaran selama sembilan bulan.. di dalam rahimnya kita menumpang.. setelah itu menyusu pula lebih kurang dua tahun. Sedang seorang ayah bertungkus-lumus mencari sesuap nasi. Pulangnya hanya pada tengah malam. Ketika anak-anak sudah lama dibuai lena. Lalu, si ayah hanya menatap wajah anak-anak buat beberapa saat. Tidak sempat untuk mengucapkan selamat malam pun. Jadi, apabila ditanya, seseorang lebih tegar menjawab..

“Saya lebih sayang ibu saya”.

“Biasanya dengan ayah tak ada apa-apa nak cakap”.

“Saya tidak rapat la dengan ayah”.

Oh! Begitukah?!.. Terasa kedengaran kejam di pinggir telinga. Pada saat insan lain begitu mendambakan kehadiran seorang ayah. Anda mengatakan anda tidak berapa sayang dengan ayah anda. Anda tidak melihat pengorbanannya, tidak merasai telapak tangannya yang kasar kerana tuntutan kerja demi menyuap kita dengan sesuap nasi.

Sesungguhnya lumrah seorang lelaki, dia tidak menunjukkan kasih sayangnya secara terang-terangan. Mungkin bukan semua tetapi agar sukar untuk mencari seorang ayah yang menghantar mesej pada anak-anak dengan mengatakan. “Ayah sayang anak ayah”.

Sedarkah kita.. pada saat kita berjauhan dengan ibu bapa.. kita lebih suka menelefon ibu… langsung tidak bertanya perihal ayah. Tidak langsung bertanya khabarnya. Padahal mungkin tanpa kita sedari, ayah sedang mendengar percakapan kita dengan si ibu. Dia sedang menempel di sebelah ibu. Dia mahu sekali kalau telefon itu dilekapkan di telinganya tetapi tidak punya modal untuk memulakan perbualan. Lantas, dia biarkan kerinduan di dalam dadanya terkubur begitu sahaja.
Seorang kakak, berumah tangga dalam usia seawal 21 tahun. Kemudian, menyambung pelajaran di UPM. Terasa kesuntukan masa, perlu membahagikan masa antara rumah tangga dan pelajaran. Dan tiba-tiba sahaja dia merasakan seperti tidak lagi punya masa untuk ibu bapanya. Namun demikian, setiap kali musim perayaan, pada hari lahir ibu dan ayahnya, dia menghantar kad ucapan dari jauh. Menyatakan kerinduannya terhadap mereka berdua.

Bertahun berlalu, ayah dan ibunya sudah dimamah usia. Dia juga sudah punya keluarga sendiri. Hanya dua tiga kali sahaja dalam setahun dia berpeluang menjenguk ayah dan ibunya. Satu hari, dia terpandangkan kad ucapan hari raya yang pernah dia titipkan kepada ayahnya. Dia celah-celah Al-quran yang selalu dibaca ayahnya. Sungguh, dia jadi terharu. Sebak. Setelah bertahun lamanya, kad hari raya yang sudah hampir kekuningan itu masih wujud lagi. Dijaga baik oleh seorang ayah. Tidak dibuang.

Begitulah.. kasih seorang ayah. Kadangkala, ayah tidak menyatakan tetapi dia menunjukkan dengan tindakannya. Seorang ayah yang menghargai! Mudah-mudahan anak-anak juga akan menghargai kasih sayang yang lahir dari hatinya yang luhur😍

0 comments:

Post a Comment

Blogger Tips and Tricks