Jangan bersedih, teman!

Monday 1 June 2020




Tidak pernah terdetik di hati,
Aku kan mendengar ceritamu yang mencari jalan kebenaran,
Tidak pernah terlintas di fikiran,
Melihat tangismu yang merindui agama mulia ini,
Tidak pernah menyapa hati,
Aku kan menjadi saksi lafaz syahadahmu.
Lantas, sujud dan syukur buat Ilahi
Atas pengislamanmu sayang.


Oh…
Sang mualaf itu,
Selalu merendah diri, berfikiran positif dan lembut orangnya.
Kita kan terpisah dengan jauhnya jarak dan langkah..
Tapi, kau pasti kan sentiasa di hati
Dan andai kata..
Kita tak ditakdirkan bertemu lagi di dunia yang fana ini
Kenangilah aku di dalam doamu.
Mudah-mudahan dengan izin Ilahi, cinta kita bertaut lagi di akhirat sana.

Sesungguhnya aku begitu beruntung
Mengenalimu wahai sang pencinta agama.


Dia. Seorang teman. Yang dahulunya berbangsa Kristian Katolik. Kami merupakan teman serumah pada tahun 1, seterusnya menjadi teman sebilik. Manis wajahnya.

Maha Suci Allah yang memberi hidayah. Islam meresap masuk ke dalam jiwanya seawal usia 16 tahun. Dia bercerita mengenai minatnya pada Islam pada saya dan seorang lagi teman sebilik, Izyan. Pada awalnya, kami agak tergamam apabila dia mengatakan dia ada Al-Quran. Dalam erti kata lain, dia membeli dan  menyimpan Al-Quran. Biarpun agak kekok kerana sebelum ini, saya tidak bergaul sangat dengan bangsa lain, saya membiasakan diri.

Seronok bila mendengar kecintaannya kepada Islam. Ada sesetengah hal, dia seolah-olah lebih tahu dari saya dan Izyan, membuatkan kami terasa malu sendiri. Apabila dia bertanya, kadang-kadang, kami biarkan jawapan itu tidak berjawab. Kalau salah membuat hukum, berdosa pula namanya. Errr.. ada kalanya cepat-cepat saya ambil BB (broadband), mencari uncle google, search soalannya dan kemudian menjawab sambil tersengih lebar. Selain menjawab pertanyaan, saya juga menambah ilmu di dalam dada.

Misalnya, pada suatu hari pernah dia bertanya.. Mengapa berpuasa pada hari As-Syura? Apa tandanya ye? Err.. okay saya tidak tahu.

Pagi dia bertanya, petang baru saya mengumpul semangat dan idea untuk menjawab.
Dia selalu bercerita mengenai kebimbangannya terhadap reaksi ahli keluarganya jika dia revert (kembali kepada Islam). Mengenai kesedihan yang mungkin dialami ibunya dan persepsi anggota rumah panjang (Dia berbangsa Iban) jika dia membuat keputusan sedemikian.
Saya katakan kepadanya.

Allah memberi sesuatu yang berharga (petunjuk) kepadanya. Mengapa dia mahu lepaskan begitu sahaja? Mengenai urusan keluarga, bukan tidak penting tetapi bukankah agama yang membimbing kita, bukan keluarga dan bukan juga rakan taulan. Dengan keyakinan pada agama, hidup lebih bahagia.

Buat beberapa lama, Arnie bernafas dalam kecintaannya terhadap Islam dalam diam. Dia tidak pergi ke gereja setiap hari Ahad, biarpun teman sebilik memandangnya pelik, dia biarkan sahaja. Seolah-olah tidak berbuat salah apa pun.

Ceritanya lagi, bapanya sudah pergi. Meninggalkannya buat selama-lamanya. Terlibat dalam kemalangan tragis di kampung. Allah! Saya jatuh kasihan padanya. Sering kali merah wajahnya menahan tangis tika bercerita mengenai mendiang si ayah. Sekali lagi, saya dan Izyan hanya mampu menjadi mendengar. Terasa serba salah. Selain menyuruhnya bersabar, kami sendiri kekeringan idea untuk memberi nasihat.

Dia selalu menangis. Hmm…hati saya berkata-kata. Bukan salah Arnie mengingati.. ayah dan ibu tidak mungkin berpengganti. Selamanya hanya satu. Kita pasti mengingati mereka kerana mereka adalah sebahagian dari kita. Kita juga sebahagian dari mereka. Mereka pernah hidup dalam kenangan indah kita.

Alhamdulillah.. akhirnya pada pertengahan sem 1, Arnie melafazkan syahadah, di hadapan saya dan seorang kakak senior. Kami bertiga melaksanakan sujud syukur atas pengislamannya. Saya berdoa agar cahaya hidayah dalam hatinya akan terus menyala sehingga ke akhir nafas.
Ayuh..kita berdoa untuk Arnie. Semoga Allah memberinya kekuatan dengan Islam. Semoga dia tabah menghadapi hari-hari yang mendatang, yang penuh liku dan onak duri.

0 comments:

Post a Comment

Blogger Tips and Tricks