Senaman berpahala.

Monday 1 June 2020


Mula dengan kepala. Okey.

Atas. 1,2,3,4,5,6,7,8.
Kiri. 1,2,3,4,5,6,7,8.
Kanan. 1,2,3,4,5,6,7,8.

Dari kecil lagi kita diajar begitu, ketika bersenam. Mesti mengira 1-8. Saya tertanya-tanya, mengapa hanya 8. Mengapa tidak 1-10? Bukan susah pun, tambah dua angka lagi. 9,10. Atau mengapa tidak huruf A-Z.. Wah! Panjangnya. Ada juga yang pengsan di tengah padang ketika membuat senaman kaki. Kasihan!

Tapi, soalan itu saya biarkan. Tidak penting, kata hati saya. Jadi.. dari kecil hingga umur menginjak ke 18 tahun, kiraan ketika bersenam adalah 1-8. Sehingga ada suatu ketika saya menyertai mukhayyam di bawah usrah  selama tiga hari, persepsi saya mula berubah 100%.

Seperti biasa, kalau sudah namanya berkhemah itu, mana boleh lari dari senaman pagi.. Huahaha.. sebenarnya saya bukan kaki bersenam. Walaupun hanya mengambil masa beberapa minit, tidak juga termasuk dalam senarai ‘list to do’ yang saya suka buat.

Ketika senaman hendak bermula, saya sudah bersedia dengan kiraan 1 saya. Tetapi lafaz yang terkeluar dari ahli mukhayyam yang lain buat saya terdiam.

subhanallah, walhamdulillah, walaillahaillahu, allahu akbar.....

Saya jadi terpaku sendiri. Terasa sayu. Inilah kali pertama saya mendengar kiraan 1-8 itu bertukar. Tidak pernah terdetik di hati pun. Tambah lagi dengan lafaz zikir yang mulia. Aduhai! Terasa jahilnya diri. Mula menyedari. Berzikir bukan hanya selepas solat. Mengingati Allah bukan hanya ketika tangan ditadah memohon doa. Di mana-mana jua. Allah Maha mengetahui lagi Maha Mendengar.
Terus saya bersemangat. Almaklumlah..hendak menambah pahala dengan zikir.

Saya bermuhasabah. Mengapa susah mahu berzikir? Sebuah amalan yang tidak memakan banyak waktu. Tidak sulit untuk diucapkan dan dikerjakan. Bahkan, memberi ganjaran  besar pahala yang begitu dahsyat. Sebagaimana sabda Rasul yang mulia :

"Barangsiapa membaca  zikir ini tiap selesai Sholat fardhu (wajib), maka dosa-dosanya diampuni (oleh ALLAH SWT) meskipun sebanyak buih di lautan."

Hebatnya. Sekejap sahaja kita berzikir, Allah akan menghapuskan dosa-dosa kita. Dengan janji hati mesti ikhlas dan bersungguh-sungguh. Betul, tidak susah pun. Yang susah bila kita sendiri yang tidak mahu mencuba dan merasai manisnya zikir.

Mulai hari itu, saya mula membiasakan diri dengan lafaz zikir yang mulia ketika bersenam. Ah!! Tetapi sebetulnya, jangan hanya berzikir ketika nak bersenam tau teman-teman. Basahilah bibir kita dengan zikir kepada Yang Esa. Mudah-mudahan bermanfaat.

0 comments:

Post a Comment

Blogger Tips and Tricks