Beri laluan

Wednesday 3 June 2020

Dalam kesesakan lalu lintas, sukarnya kita untuk memikirkan orang lain. Kita memilih untuk mementingkan diri sendiri.

Beri laluan tidaklah begitu susah, tetapi kita tidak sudi berbuat demikian.

Seawal umur 14 tahun, saya dahulu naik motor ke sekolah. Awal pagi, ayah akan mengiringi pemergian saya ke sekolah. Ayah akan memastikan motor dalam keadaan selamat. Baju hujan ada di tempatnya. Terima kasih ayah.

Nasihat ayah awal pagi sama hampir bertahun-tahun. Katanya:
Jangan bawa laju.
Jangan mencabar kereta.
Berilah laluan!

Masih muda, sebahagian nasihat itu terkadang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Yang saya tahu, jangan bawa laju walaupun kadang-kadang nasihat itu saya ingkari.

 Pernah suatu ketika, seorang kawan ayah memberitahu ayah ' kalau tak silap, tadi saya nampak motor Cikgu, laju sungguh anak perempuan cikgu bawa motor'. 
Tetapi ayah sudah tahu perangai anaknya ini. Lalu ayah menjawab. " Anak kawe meme gitu sokmo."

Saya, hanya tersenyum sambil menyembunyikan ketawa.

Jalan kampung. Kita tidaklah merasa terlalu sukar. Namun, pandangan saya sudahnya berubah ketika membawa motor di Kuala Lumpur.

Saya terasa begitu kerdil. Jalan bertali arus. Kiri kanan ada motor, kereta, bas, lori dan basikal. Segala macam. Ada yang bawa kenderaan macam pelesit. Ada juga yang slow seperti sang kura-kura dalam pertandingan larian bersama arnab😅


Lama juga saya ke sana ke mari dengan motor di bandar besar. Dari Kepong ke Puchong. Dari Kepong ke Kajang. Oh, saya ingat saya pro, rupanya tidak!

Ketika itu, baru sedar. Alangkah pentingnya memberi laluan. Betapa sedihnya perasaan ketika kita susah dengan motor, tetapi orang besar yang naik kereta, tidak sudi memberi laluan sedikitpun.

Di atas jalan raya, saya selalu ingatkan diri, jangan merasa megah.

Jalan raya bukan tempat untuk tunjuk hero. Sama sekali tidak!

Lazimi diri kasihan pada orang..Didik hati bila lihat ada kereta, motor hatta bas sekalipun, cubalah memberi ruang kepada orang.

Sudah selalu terbentang di mata, betapa banyak kes kemalangan jalan raya hanya kerana ego. Memanglah kita mengejar masa, hendak segera sampai ke destinasi. Tetapi apa guna 'cepat' itu jika sudahnya kita hanya mengakibatkan kecederaan jiwa pada orang. Pandu cermat jiwa selamat.

Mata kita sudah nampak kereta di sebelah, atau di depan memberi signal, apa kata kita mengalah. Mengalah bukan bermakna kalah. Itu tanda kita punya jiwa yang besar.

Malang sekali, ketika kita berkereta, ada motor memberi signal, kita pun mulalah terasa diri 'besar'. Rasa 'besar' itu adalah sombong. Dan orang yang di dalam hatinya ada sombong meskipun hanya sebesar zarah tidak akan masuk syurga. Mahukah kita begitu? Sedihnya, bila di akhirat nanti, kita tidak masuk syurga kerana tidak sudi memberi laluan!

0 comments:

Post a Comment

Blogger Tips and Tricks